Sunday, April 13, 2008

Roh Ibadah


Bismillahirrahmaanirrahim

Kebanyakan orang Islam mesti pernah mendengar ayat 45 surah Al ‘Ankabuut ini “ Sesungguhnya solat itu mencegah dari keji dan mungkar”, dalam masa yang sama juga kita melihat banyak nya orang yang bersolat membuat perkara yang dicegah oleh syariat, tak kira yang dicegah itu maksiat besar mahupun kecil, kenapa wujud percanggahan disitu?

Disini saya cuba untuk membantu diri ini supaya lebih tahu dan mereka yang tidak tahu kepada tahu dengan keyakinan yang utuh. Mari kita jadikan ibadah yang kita lakukan seperti, solat, puasa, zakat dan yang sama dengan nya itu memberi kesan kepada kehidupan harian kita insyallah.

Bentuk Pemikiran

Dewasa ini kita melihat kebanyakan ibadah yang dilakukan tidak memberi kesan kepada kehidupan, kenapa? Antara perkara yang boleh saya utarakan mengapa wujudnya perkara begini ialah, BENTUK PEMIKIRAN . Bentuk pemikiran yang saya maksudkan disini ialah, pemisihan antara ibadah dengan amal perbuatan harian.

Dalam pemikiran mereka, ibadah satu bahagian, dan perbuatan luar ibadah adalah bahagian yang lain. Sebahagian kita sebenarnya sedia maklum ibadah itu adalah semua perbutan yang kita lakukan, yang mana jika diniatkan kerana Allah adalah dikira ibadah. Tapi tidak bagi setengah golongan yang membahagikan perkara tersebut.

Apabila pemikiran kita memisahkan antara amal kehidupan harian dan ibadah kepada bahagiannya yang tersendiri, secara langsung sukar diterapkan nilai-nilai ibadah dalam kehidupan, kerana hukum akal ialah apa yang difikir itu yang akan dibuat.

Contohnya

Seseorang yang tidak pandai berenang, dan dia telah set kan di fikirannya “aku tak boleh berenang” dengan sendirinya dia tidak akan berusaha untuk berenang, jauh lagi untuk mampu berenang. Oleh itu ‘benteng’ ini harus dipecahkan, bentuk pemikiran yang membezakan antara ibadah dan amalan harian harus dileburkan sehingga menjadikan amalan harian itu adalah ibadah, keduanya ini kita jadikan dalam satu unsur.

Suka saya datangkan contoh solat, solat amat besar ertinya, solat juga adalah tiang agama, solat membezakan Islam dan kufur, sepertimana sabda Rasulullah SAW,

“ Perbezaan antara seseorang dengan kekufuran ialah meninggalkan solat”

( Diriwayatkan oleh Muslim dan selain beliau dari Jabir r,a)

Kita dalam keadaan suci ketika bersolat, bacaan, lafaz dan maknanya penuh kebaikan, ruku’ dan sujud penuh ketaatan sebagai seorang yang taat, berdoa atau menyeru mengharapkan pertolongan dan hajat kepada Yang Maha Agung Allah SWT sebagai seorang hamba yang tidak mempunyai apa-apa.

Subhanallah! kita betul-betul menjadi seorang yang amat baik ketika bersolat, kerana memang kita sedar ketika solat kita menyembah Allah, kita menghadap Allah, Allah melihat kita pada masa itu, itulah agaknya yang kita rasa.

Sebaliknya

Tetapi perkara sebaliknya terjadi bila wujudnya pemikiran ibadah lain perbuatan harian lain, amat menyedihkan apabila luar daripada solat, perasaan itu tidak dapat kita hadirkan kerana kesilapan mengsetkan pemikiran kita bahawa menyembah, taat dan Allah melihat kita hanya ketika solat, luar dari itu tidak.

Dalam solat tidak tergamak sedikit pun untuk kita lafaz perkataan yang buruk, tapi kenapa di luar solat caci-maki, carut marut bagaikan air mengalir meniti dibibir kita? Adakah kita menyangka hanya di dalam solat sahaja Allah menyukai perkataan-perkataan yang baik sedangkan diluar solat tidak?

Dalam solat kita amat taat mengikut rukun-rukun dan menjauhi perkara yang boleh membatalkan solat, tapi luar darinya kita tidak mampu mengtaati larangan-larangan Allah yang mana larangan tersebut demi kebaikan kita juga, tidakkah kita cuba untuk mengambil masa untuk berfikir sejenak?

Kita juga boleh melihat muamalat kita dengan Allah ketika solat, dijaga dari sebarang kecacatan dengan harapan Allah meredhai(menerima) solat kita, akan tetapi muamalat sesama manusia dipandang enteng, penuh penipuan, kezaliman, pencerobohan hak dan lain-lain. Tidakkah kita ingat dosa sesama manusia, manusia sahaja yang boleh mengampunkannya?

Jika di dalam ibadah kita dapat mencantik baikkan akhlak kita kerana Allah SWT, wajib juga bagi kita luar daripada itu untuk mencantikkan perkataan, muamalat dan semua perbuatan kita kerana Allah SWT, kerana sesungguhnya ke lubang mana kita sembunyi Allah SWT maha melihat. Bagaimana pula mereka yang tidak mahu berfikir untuk membaiki ibadah, diri dan akhlak mereka? melakukan ibadah sekadar melepaskan batuk di tangga? Mereka itu terkecuali dari apa yang disebut di artikel ini.

Wallahu Ta’ala A’lam

Rujukan :

Al Iman Wal Hayat oleh Dr Yusuf Qardhawi

Al Ummatul Islamiyyah Haqiqah la Waham oleh Dr Yusuf Qardhawi

Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Inginkan oleh Dr Yusuf Qardhawi terjemahan oleh Ustaz Muhammad Zaini Yahaya.

0 Komentar:

Post a Comment

<< Home