Sunday, June 22, 2008

Berpindah Ke Laman Baru

Bismillahirrahmaanirrahim

Atas sebab beberapa kesulitan yang dihadapi, kami berpindah ke laman baru di http://furqanalhammasiyy.wordpress.com/

Sebarang kesulitan amat dikesali.

Wallahu Ta'ala A'lam

Thursday, June 05, 2008

Imtihan Dunia Wasilah Akhirat


Bismillahirrahmaanirrahim

Sudah tiba masanya kami dalam fatrah yang memenatkan, fatrah imtihaanat. Oleh kerana peperiksaan hanya empat hari, subjeknya pula 12, maka tidak dapat tidak terpaksa diharungi jua.

Syarat Kejayaan ialah Usaha,
tetapi
Usaha, syaratnya bukan kejayaan.

Jika mahukan kejayaan, kita tidak boleh goyang kaki tanpa usaha, cuba bayangkan, adakah kita mampu merobohkan sebuah benteng penghalang dengan hanya memandangnya tanpa melakukan apa-apa? secara logiknya benteng itu tidak akan ada apa-apa perubahan, oleh itu tidak dapat tidak, kita harus melakukan sesuatu, samada memukulnya dengan tukul, meletupkannya dengan bom atau lain-lain lagi.

Begitu juga bagi seorang penuntut ilmu, sebelum mencapai cita-cita, perlu menghadapi fatrah imtihanaat, perlu berjaya dalam imtihan sebelum ke langkah seterusnya. Adakah kita hanya menunggu keajaiban tanpa usaha menghadapi imtihan?

Setelah berusaha

Adakah setelah berusaha wajib kita memperolehi kejayaan? itu adalah ketentuanNya, ketentuan Allah SWT buat kita, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik buat hambaNya, Allah SWT tahu apa kemampuan hambaNya, selayaknya kita redha dengan natijah yang dikurniakan kepada kita. Allah SWT ingin menguji siapakah yang paling sabar, taqwa, tinggi imannya di sisi Allah SWT, insyAllah.

Untuk mencapai sebuah kejayaan yang manis, kita pasti melalui ranjau yang pahit, letih, sakit, sedih, dll. Bekalan buat penuntut ilmu ialah sabar, tanpa sabar, semuanya akan berkeciciran. Sama-samalah kita muhasabah diri kita insyAllah.

Info : Orang yang berjuang pada jalanNya tidak akan kalah, samada dia mati syahid, ataupun mencapai kemenangan, natijahnya menang.

Wallahu Ta'ala A'lam

p/s : Sahabat-sahabat semua jangan lupa doakan kejayaan kami disini, mana tahu doa kalian makbul tanpa hijab, insyAllah.

Saturday, May 31, 2008

Siapa Lebih Awal Masuk Syurga?


Bismillahirrahmaanirrahim

Di satu petang yang hening, dua orang sahabat sedang berehat sambil menikmati ciptaan Allah SWT berbual mengenai aqidah, tentang dua orang mukmin, satu nya kaya dan satu nya lagi miskin.

Ali berkata “aku tak nak jadi kaya, nanti aku lambat masuk syurga, kalau kita ada banyak harta, semua tu akan dihisab, maka lambat la masuk syurga”.

Jika dilihat dari logiknya memang begitu la, semua benda yang kita miliki semuanya akan dihisab, tidak terlepas satu pun bila kita dihadapkan di mahkamah Allah SWT nanti.

Amad yang keliru mula bertanya “takutlah orang nak jadi kaya?” Ali yang memulakan perbualan tadi mula menggaru kepala keraguan.

Bila perkara ini timbul, secara peribadi ianya juga memberi kacau dalam jiwa ini, saya mula mencari penyelesaian dari masalah ini, Islam tidak menyuruh umatnya menjadi miskin, Islam tidak menghalang umatnya menjadi kaya, malah dari kalangan sahabat Rasulullah SAW seperti Abu Bakar, Othman, dan Abdul Rahman Bin Auf adalah golongan kaya dan dijanjikan terus ke syurga.

Jika dirujuk kepada beberapa kitab aqidah kita akan dapati bab “miskin sabar dan kaya bersyukur”, kedua-duanya mukmin, tetapi siapakah yang lebih tinggi darjatnya ataupun yang lebih afdhal?

Dalam masalah ini ada pendapat yang mengatakan “kedua-dua mereka adalah pada darjat yang sama”. Sebenarnya bukan masalah kaya atau miskin yang menentukan siapa yang lebih afdhal, tetapi amal, iman dan taqwa mereka yang akan menentukan kedudukan disisi Allah SWT.

Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu.

Al Hujuraat: 13

Kita kembali pada masalah Ali dan Amad tadi, kedua-dua mereka tidak perlu risau kedudukan kaya atau miskin kerana lambat atau cepat mereka dimasukkan syurga akan ditentukan dengan amal, iman dan taqwa mereka disisi Allah, siapa yang lebih tinggi taqwanya disisi Allah, dia itulah yang lebih afdhal disisi Allah.

Tapi ada hadith menyebut orang kaya lambat dimasukkan ke syurga kerana hartanya,bagaimana?

Ya! Memang ada hadith menyebut mengenai masalah ini. Walaupun si miskin cepat masuknya ke syurga, tetapi belum tentu kedudukannya lebih tinggi dari si kaya di syurga, jangan kita lupa syurga itu ada peringkatnya.

Sebenarnya apa yang menentukan kedudukan mereka di syurga, cepat atau lambat dimasukkan ke syurga adalah bergantung kepada relatifnya. Seperti mana yang disebut diatas tadi.

Beramalah kamu di dunia seolah kamu akan hidup selama-lamanya, beramalah kamu untuk akhirat seolah kamu akan mati esok.

Kita memiliki dunia, bukan dunia memiliki kita, kita menguasai dunia, bukan dunia yang menguasai kita, itulah yang diamalkan oleh para sahabat salafus soleh, walaupun mereka kaya, menguasai dan memiliki urusan dunia, ianya di tangan tetapi bukan dihati mereka, lihat sahaja Saidina Abu Bakar, bagaimana beliau menginfakkan semua kekayaannya pada jalan Allah SWT, bukti Allah dan RasulNya tetap di hati walaupun beliau memiliki kekayaan.

Ya Allah Kau kuatkanlah kami, semoga kami mampu mencapai kedudukan yang tinggi disisi Mu insyAllah, Amin Ya Rabb.

Info :

10 orang yang dijanjikan terus ke syurga ialah, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Thalhah Bin Ubaidillah, Zubir Bin ‘Awwam, Abdul Rahman Bin Auf, Saad Bin Abi Waqas’, Said Bin Zaid, Abu Ubaidah ‘Amir Bin Jarah.

Wallahu Ta'ala A'lam

Rujukan : Syarah Aqidah Thahawiyah oleh Imam Qadhi Ali Bin Ali Bin Muhammad Bin Abi ‘Iz Addamsyiki 792h, tahqiq dan takhrij hadith oleh Dr Abdullah Bin Abdul Muhsin At Turki dan Syuib Al Arnauth, Muasasah Ar Risalah.

Al Iqnaa’ Fi Masailul Ijma’ oleh Imam Hafiz Abi Hasan Ali Bin Muhammad Bin Abdul Malik Ibnu Alqathan Al Fasi 628h, tahqiq As Syeikh Zakaria ‘Umairah, Cetakan pertama, jilid pertama, Darul Kutub Ilmiah.

Al Islam Kamu Nu’minu Bihi Dhawabith Wa Malamih oleh Dr Yusuf Al Qardhawi, cetakan kedua, Nadhah Mesir.

Saudara Razizi Bin Tarmuji, Mahasiswa Morocco, sedang menyiapkan program masternya di Marrakech, Mantan Presiden PMMM. Allahu Yubarik fih.

Thursday, May 22, 2008

Gajah Itu Bukannya Keras macam Batu


Bismillahirrahmaanirrahim

Alhamdulillah segala pujian kepada Allah, selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad SAW , para sahabat dan keluarga baginda sekaliannya.

Orang buta mengenal gajah

Orang buta 1 : sedang memegang belalai gajah “ gajah ni bentuknya panjang “.

Orang buta 2 : sedang memegang ekor gajah “ gajah ni berbulu “.

Orang buta 3 : sedang memegang gading gajah “ gajah ni keras macam batu”.

Ketiga-tiga orang buta ini mempunyai pentafsiran yang berbeza mengenai seekor gajah, setiap mereka hanya memegang sebahagian daripada gajah itu bukan keseluruhannya.

Islam yang kita mahu

Kita berpegang kepada Islam, kita mengimaninya, dan Islamlah jalan kita. Kita bukan golongan yang mengambil Islam hanya sebahagiannya, Islam itu syumul, kita mengambil keseluruhan Islam, tidak menambahnya dan tidak menguranginya. Ini Islam yang kita seru dan yang kita mahu.

Setengah golongan tersilap (mungkin juga sengaja) dalam menyeru kepada Islam, ada pihak yang mengajak bahawa Islam itu hanyalah ukhrawiah dan meninggalkan duniawiyyah, ada juga yang mengatakan Islam itu hanya dalam lingkungan ibadah seperti solat, zakat, puasa, dll. Soal pemerintahan, ekonomi, pembangunan, dan yang sama waktu dengan nya tidak ada kaitan dengan Islam.

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Al Baqarah : 208

Islam tidak mengajar umatnya mengambil Islam hanya 50%, 30%, akan tetapi keseluruhannya, ayat di atas adalah “ayat perintah”, tidakkah ianya bermaksud wajib? Jangan memekakkan telinga dan membutakan mata.

Islam pada diri

Kebanyakan kita tersilap dalam mengamalkan Islam, lihat sahaja di bulan Ramadhan, solat berjemaah di masjid tidak pernah ditinggalkan, malah ditambah lagi dengan solat-solat sunat dan amalan lain, selesai sahaja bulan Ramadhan, kita kembali kepada akhlak yang lama. Begitu juga ketika melakukan haji, mungkin ada yang menganggap di tanah suci sahaja harus berkelakuan baik, luarnya tidak. Tidakkah kita terfikir Allah itu maha melihat dan maha mengetahui?.

Islam Itu Syumul

Apa yang terkandung di dalam Islam ialah saling melengkapi. Salah sama sekali jikalau kita hanya mengambil tasawwuf tanpa feqh, mengambil feqh tanpa hadith, dan sebagainya. Malah yang lebih menyedihkan ada golongan yang taksub mengambil sebahagian daripada Islam dan mengbidaah hatta mengharamkan yang lain.

Kita menyeru kepada Islam yang syumul, mengambil keseluruhan kerana ianya saling melengkapi, kita tidak menguranginya dan tidak menambahinya.

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu ni'mat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu.

Al Maa’idah : 3

Wallahu Ta’ala A’lam

Rujukan : Al Islam Kama Nu’minu Bihi Dhowabith wa Malamih oleh Dr Yusuf Al Qardhawi. Cetakan kedua, Januari 2006. Nahdhah Mesir.

Friday, May 16, 2008

Kadet Bomba Sekolah Kami


Bismillahirrahmaanirrahim

Kali ini masih lagi cerita time di MADA dulu. Sebagai kenangan dan iktibar untuk kita semua. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

Kisah kadet bomba sekolah kami, tahun 2004 cukup bermakna buat kami di tingkatan 5 ketika itu. Sebelum saya mengceritakan kenangan-kenangan indah 2004, ada baiknya mengimbau serba sedikit kisah kadet bomba kami sebelum mengecapi kemenangan ‘itu’.

Sekolah kami bertanding peringkat zon 1 bagi sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK). Seperti kebiasaan dan adatnya, kami akan memenangi tempat kedua pertandingan, oleh itu ianya tidak melayakkan kami untuk ke peringkat negeri mewakili zon 1 menentang zon-zon lain.

Entah macam mana satu tahun tu (dua tahun sebelum 2004), lawan kami yang selalu memenangi tempat pertama kalah, atas sebab kesilapan-kesilapan yang agak zahir mereka lakukan, ianya memungkinkan kami memenangi pertandingan kali ini, jangkaan menepati sasarannya, kami akan ke kejohanan peringkat negeri Kelantan sekolah agama dibawah kelolaan YIK.

Hari kejohanan

Sebelum setiap pasukan memasuki medan pertandingan, setiap leader terlebih dahulu akan diuji oleh pegawai bomba dengan arahan-arahan yang diberi. Dari jauh kami melihat leader kami berpusing-pusing dalam keadaan yang agak pelik, tidak seperti leader pasukan yang lain, apa yang terjadi sebenarnya?

Apabila leader kami keluar dari padang, tidak perlu kami yang melontarkan soalan, terus dia bersuara “aku tak faham dengan arahan yang diberi, aku tak pernah dengar? “. Kami di tempat kelima pada kejohanan itu, walaupun ada bunyi-bunyi belakang kami layak menduduki tempat yang lebih selesa.

Tahun 2004

Pada tahun inilah aku baru menyertai kadet bomba, alhamdulillah dapat terus menyertai pasukan utama. Pada tahun ini juga kami masih memenangi tempat kedua, tetapi ada sesuatu yang tidak diduga, pasukan kami dijemput oleh Jabatan Bomba Pengkalan Chepa untuk menyertai program latihan sempena kejohanan kadet bomba peringkat negeri Kelantan di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia. Ianya hanya mimpi untuk pergi sejauh ini bagi sekolah agama YIK, Kementerian Pendidikan Malaysia memang menganak tirikan sekolah di bawah kelolaan YIK dengan kelolaan mereka, sedangkan kami juga rakyat Malaysia (semua benda nak dipolitikkan).

Oleh kerana kami dari sekolah YIK, kaedah taqiyyah terpaksa digunakan, kami menyertai pasukan kadet bomba ini diatas nama Sekolah Menengah Teknik Pengkalan Chepa, walaupun tidak semua yang dipilih untuk program ini, aku bersyukur kerana terpilih dari separuh yang diperuntukkan.

Sepanjang program inilah kami dapat mengetahui apa punca kekalahan ketika kejohanan dua tahun yang lalu. Arahan yang kami guna pakai selama ini adalah salah dan tidak ada asal dalam kadet bomba seluruh Malaysia, malah gerakan-gerakan kami ada yang tidak wujud dalam kadet bomba, kenapa jadi begini ?

Taqlid Buta

Hasil perbualan sesama kami, rupanya semua arahan dan gerakan dalam kadet bomba adalah rekaan dari abang-abang dahulu, mereka akan pergi ke sekolah-sekolah mengintip gerakan dan arahan yang dikeluarkan, tidak kiralah kadet itu polis, bulan sabit merah, kadet remaja sekolah dan apa-apa lagilah, hasil nya kadet sekolah kami mempunyai gerakan dan arahan yang bercampur-campur.Golongan kami yang selepas abang-abang ini hanya menerima dan mengamalkannya tanpa sangsi, rupanya apa yang diamalkan selama ini adalah salah dan sesat sama sekali setelah dirujuk dari sumbernya yang asal.

Kemenangan

Kami akhirnya memenangi pertandingan peringkat negeri Kelantan mengalahkan jajahan yang lain, kami layak mewakili Negeri Kelantan ke peringkat kebangsaan. Pelbagai pengalaman dan kenalan kami perolehi sepanjang Perkhemahan Kadet Bomba Kebangsaan 2004 itu diadakan. Kami memenangi tempat kedua ketegori kawad kaki mengalahkan 13 buah negeri seluruh Malaysia di belakang kami. Segala ilmu dan pengalaman itu kami bawa pulang untuk generasi MADA selepas kami.

Kesimpulannya

Antara masalah umat ialah pengamalan ibadat mahupun adat yang bercanggah dan tidak ada usul nya dalam Islam, walaupun kadet bomba kami hebat pada luarannya tetapi kalah kerana arahan dan gerakan bukan dari usulnya yang sebenar, bagaimana pula dengan ibadat kita? Sudah tentu ibadat kita dituntut mengikut landasan dan usul yang betul, iaitu Al Quran dan Sunnah, mana-mana yang bercanggah dengan keduanya ini, adalah tertolak sama sekali. Langkah bijak kita ialah dengan mempelajari, menuntut, menadah ilmu dengan ahlinya, semoga ibadat kita diterima, rugikan kalau bertaqlid dan taqlidkan kita itu salah? hanya sia-sia dan letih yang kita perolehi.

Wallahu Ta’ala A’lam.

Thursday, May 08, 2008

Memori Bersama Tok Guru


Bismillahirrahmaanirrahim

Lama tak menulis sejak tidak ada internet di rumah ni, mujurlah ada sedikit masa datang cyber cafe ni, lagi pun kami dalam fatrah imtihanaat, semoga sahabat-sahabat semua tidak lupa mendoakan kami disini.

Entah kenapa semenjak dua menjak ni asyik terkenang kenangan-kenangan belajar di MADA ( Maahad Darul Anuar ) dulu, tiap-tiap malam duduk bercerita kisah-kisah yang pernah kami lalui disana. Ada suka, duka, ketawa, nangis, dan lain-lain lagi.

Bila sebut MADA mungkin tak berapa famous sangat, sebab ni nama baru, dulu namanya SMUDA(macam muda pulak) Sek Men Ugama Darul Anuar, sekolah ni terletak di Kampung Pulau Melaka, bila sebut Kampung Pulau Melaka sinonim la dengan tempat tinggal Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Orang Kelantan mana yang tak kenal Pulau Melaka?, memang aib bagi yang tak mengenalinya kerana orang jauh luar dari Kelantan pun tahu kampung ini.

Bagi pelajar yang pernah belajar di MADA khususnya yang tinggal di asrama mesti pernah melalui kenangan secara langsung ataupun tidak dengan Tok Guru. Ada yang pernah kena marah, kena rotan dengan Tok Guru, jadi juru kako (pelayan time majlis) di rumahnya, angkat batu di rumah beliau, makan rambutan kuning belakang rumah Tok Guru dan macam-macam lagi yang cukup manis untuk dikenang semuanya kembali.

Seorang menteri besar yang disegani lawan mahupun kawan, secara peribadi wajib untuk diri ini mengagumi beliau (jangan salah sangka, diri ini bukan taksub orang nya) dari banyak aspek. Walaupun bertitle MB beliau tidak pernah lupa untuk melihat apa yang berlaku di kampungnya, tidak terlepas juga asrama kami. Pernah satu ketika, masa tu lepas kuliah subuh hujung minggu, kebiasaanya kami balik asrama bersiap nak main bola ataupun sambung tidur, dari jauh ternampaklah satu kelibat yang memang kami kenali, beliau masuk kedalam asrama dan tinjau-tinjau apalah yang ada di asrama kami ni, tetiba satu pengumuman dari exco, “ diminta semua pelajar turun berhimpun, kita akan adakan gotong royong sebentar lagi, harap maklum”. Begitulah Tok Guru, beliau tidak pernah mengabaikan kami, malah kami selalu diperhati dan diambil cakna oleh beliau, Alhamdulillah.

Kami sangat sayangkan Tok Guru, masa mula-mula Tok Guru dikejar ke Hospital Pakar Perdana Kota Bharu kerana serangan jantung yang mana menggemparkan negara satu ketika dulu, kami semua dalam keadaan berdukacita, asrama suram dengan berita tersebut, lepas maghrib ramailah abang-abang senior sibuk mencari motor (mana ntah diorang ni dapat motor) pergi ke hospital ingin mendapatkan perkembangan keadaan Tok Guru, Alhamdulillah Tok Guru stabil, kami lega untuk seketika.

Tapi entah kenapa kami (saya) masih tak sedar-sedar, sibuk main, lebih besarkan benda lain dari belajar, belajar pun hanya di sekolah, tu pun sebab nak periksa, masa Tok Guru mengajar di masjid jarang nak datang, mula nak keluar dan macam-macam akalan lagi masa tu, bila dah tua macam ni baru nak menyesal, beruntunglah mereka yang betul-betul mengambil manfaat dari pengajian Tok Guru di masjid dulu.

Harap peluang pengajian bersama Tok Guru masih ada lagi, saat itu tidak akan disia-siakan lagi, kerana Tok Guru adalah Tok Guru. Teringat satu hadith Rasulullah SAW :

Sesungguhnya Allah SWT tidak mengambil ilmu dengan mencabut dari dada manusia akan tetapi Allah SWT akan mengambil ilmu dengan mengambil Ulama, jika sudah tiada lagi orang alim, manusia akan menjadikan ketua mereka dari kalangan orang yang jahil, mereka (manusia) bertanya, maka mereka (pemimpin) akan menjawab dengan mengeluarakan fatwa tanpa ilmu,maka semuanya dalam keadaan sesat lagi menyesatkan. ( Al Bukhari fil Ilmi 1/234 , Muslim fil ilmi 16/223)

Sama-samalah kita menggunakan sepenuhnya peluang yang masih berbaki diusia dunia ini, tuntutlah ilmu dari orang-orang alim walau dimana sahaja kita berada, kerana ilmu petunjuk jalan yang betul, benar,sahih, lurus, dll. Semoga kita tidak tergolong dari kalangan mereka yang sesat dek kerana sombong tidak mahu menuntut ilmu.

Wallahu Ta’ala A’lam

Rujukan hadith : Tazkiyatun Nufusi Wa Tarbiyatuha Kama Yuqarrihuha Ulama’us Salaf, Ibnu Rejab Hanbali, Ibnul Qayyim, Abu Hamid Al Ghazali. Darul Qalam Beirut Lubnan, Cetakan Pertama 1405 h/ 1985 m.

Friday, April 25, 2008

Ikhtilat, bagaimana caranya?


Bismillahirrahmaanirrahim

Ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan). Adakah sama sekali tidak boleh? Apakah hukumnya? Mungkin kebanyakan kita pernah mendengar mengenai masalah ini, mungkin juga tidak.

Demi cinta dan sayangku kepada muslimah-muslimah di seluruh dunia, ku cuba menterjemah sedikit secara bebas dari buku Fatawa Al Mar atul Muslimah oleh Dr Yusuf Al Qardhawi, saya hanya mengambil di kesimpulan dari keseluruhan jawapan penanya soalan. Teguran dan nasihat amat diharapkan. Semoga ianya dapat memberi faedah kepada semua khususnya para muslimah insyAllah.

Amma ba’d:

Pertemuan ataupun perjumpaan di antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak, bahkan harus mahupun dituntut jika tujuannya adalah mulia, memberi manfaat dan menambah amal soleh(seperti menuntu ilmu), membawa kebaikan, dan perkara-perkara yang mana berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua belah pihak (lelaki dan perempuan) berlandaskan batas-batas, tujuan yang betul dan penguatkuasaan yang berkesan.

Walaupun dibolehkan, kita sama sekali tidak mengabaikan batas-batas dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam :

1. Hendaklah menjaga pandangan oleh kedua-duanya (lelaki dan perempuan jangan gatal menjeling-jeling), tidak memandang kepada aurat, tidak juga memandang dengan syahwat, dan tidak memanjangkan pandangan jika tidak berhajat. Allah SWT berfirman :

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat".(30)

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya,(31)

An Nuur : 30-31

2. Seorang perempuan hendaklah sentiasa mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sopan, menutupi seluruh badannya selain dua tangan dan wajah, tidak jarang (tipis) dan tidak menampak bentuk tubuh, Allah SWT berfirman :

dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya, ,(31)

Surah An Nuur : 31

Dikuatkan lagi daripada para sahabat yang dimaksudkan dengan “perhiasan” ialah dua tangan dan wajah.

Allah SWT menjelaskan mengenai pakaian yang sopan, firmanNya :

Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. (59)

Al Ahzab: 59

Perempuan muslimah yang sopan berbeza pakaian mereka dari perempuan yang semberono perangainya, dia juga tidak berakhlak buruk, dengan itu setiap yang memandang pakaian dan akhlaknya, pasti akan menghormati dan menyeganinya.

3. Sentiasa berakhlak muslimah pada setiap perkara, terutama ketika bermuamalat dengan lelaki :

i. Percakapan , hendaklah menjauhi dari suara yang boleh merangsang dan membangkitkan perasaan, Allah SWT berfirman :

Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,(32)

Al Ahzab : 32

ii. Berjalan, Allah SWT berfirman :

Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan (31)

An Nuur : 31

Allah SWT menyifatkan sopan santun seorang perempuan dengan firmanNya :

Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan (25)

Surah Al Qashah :25

iii. Pergerakan, tidak berlenggok, seperti yang disifatkan dalam hadith sebagai (berlenggok itu adalah perempuan) dan tidak berhias (tabarruj) seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita jahiliyyah dahulu mahupun sekarang.



4. Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai dirumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.

5. Jangan sesekali membiarkan hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram disisi mereka, ianya ditegah dengan sebuah hadith sahih mengenainya, (Sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama (makin ‘terbakar’ la kalau dibiarkan berdua). Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ayah mertua, ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.

6. Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat (cth: mesyuarat) dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan, ataupun perkara-perkara yang boleh mengabaikan kerja sebenar yang amat suci seorang perempuan, iaitu tanggungjawabnya di rumah dan pertarbiyahan bangsa(anak-anak).

Penuhilah syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan kita, bahkan demi kebaikan bersama, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hambaNya yang taat. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dengan keyakinan ini, marilah disaat ini kita mula menjadi seorang yang terbaik disisiNya insyAllah.

Wallahu Ta’ala A’lam

Rujukan :

Fatawa Al Mar atul Muslimah oleh Dr Yusuf Al Qardhawi, maktabah wahbah, cetakan pertama 1996 m – 1416 h.